KOTA KINABALU: Suasana gempar apabila sebuah kapal MT JASMIN membawa muatan minyak petronas jenis U95 terbakar di Terminal Minyak Teluk Sepanggar Bay di sini, pagi tadi.
Pasukan bomba yang tiba segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan 2 aliran, 3 pancutan, 300 kaki dan sumber air dari Pili Bomba berhampiran dan air terbuka iaitu air laut.
Dua mangsa lelaki yang berada di lokasi kejadian berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba bagaimanapun salah seorang mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas dan pengsan manakala seorang lagi mangsa tidak mengalami kecederaan.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Demikian situasi yang berlaku sepanjang Sepanggar Allied Fire Emergency Response (SAFER) XXI DRILL 2023 yang dijalankan bagi memantapkan Intergensi Sabah Port, Petronas dan agensi kerajaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata latihan yang dijalankan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dengan bantuan dari BBP Tuaran dan BBP Lintas juga dilaksanakan bagi memberikan latihan kecemasan sekiranya berlaku insiden di kawasan berkenaan.
“Sepanjang latihan dijalankan, kelengkapan yang digunakan juga dapat dipastikan berada dalam keadaan yang terbaik untuk digunakan ketika insiden kecemasan.
“Pegawai baharu yang bertugas di Sabah Port juga dapat didedahkan dengan tindakan betul yang perlu dilaksanakan semasa kecemasan selain memantapkan semua agensi dalam mengendalikan kes mengikut keadaan semasa berlaku kejadian seumpama,” katanya.
Menurutnya melalui latihan yang sama seperti kejadian sebenar, pihak bomba dapat mengajar total Evacuation dan Partial Evacuation kepada kakitangan di dalam agensi ini.

Katanya, keseluruhan latihan berjalan dengan lancar dan latihan seumpama akan dijalankan terhadap agensi lain untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran keselamatan kebakaran. – Info X