Search

3 rumah teres musnah terbakar

December 10, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Tiga rumah teres musnah dalam kebakaran di Taman Nagapas, di sini awal pagi tadi.

Semua penghuni sempat menyelamatkan diri dan tiada mangsa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.15 pagi.

Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Dilaporkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis teres terbakar.

“Rumah pertama dan kedua masing-masing terbakar 100 peratus dan 70 peratus manakala rumah ketiga terbakar 70 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Nagapas, Papar. – Foto/Bomba

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 3.25 pagi dan dipadam sepenuhnya 32 minit kemudian.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian,” katanya. – Info X