KENINGAU: Polis menahan seorang remaja lelaki dan merampas dua laras senapang jenis bakakuk dan senapang angin di tepi jalan kawasan ladang di Nabawan, di sini, Rabu lalu.
Serbuan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau turut merampas sembilan butir peluru hidup jenis GB warna hijau dan satu kotak peluru senapang angin jenis ‘Sharp’.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, serbuan jam 11.30 pagi itu menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang remaja lelaki warga tempatan berusia 19 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan, menemui satu laras senapang angin dan bakakuk di dalam kenderaan dipandu suspek.

“Turut dirampas sembilan butir peluru hidup dan satu kotak peluru senapang angin.
“Semua senapang dan peluru hidup itu ditemui di dalam kenderaan yang dipandu suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut suspek mengaku memiliki dan menggunakan senjata berkenaan sejak 2019.
“Siasatan masih diteruskan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya. – Info X