BELURAN: Wanita warga emas maut dilanggar bas ekspres ketika melintas jalan di Kampung Bauto, Jalan Telupid-Ranau, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 78 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telupid.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika bas ekspres bersama 26 penumpang yang dipandu lelaki berusia 36 dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Sandakan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pejalan kaki terbabit dipercayai tiba-tiba berjalan melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
“Pemandu bas ekspres tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa terbabit hingga menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kasim berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dan dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun msngsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.35 petang.
“Pemandu bas bersama 26 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987). – Info X