Search

Bot karam, dua nelayan selamat

December 24, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua nelayan berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ombak di perairan Pulau Berhala, di sini, semalam.

Mangsa Fadzier Salleh, 36 dan rakannya Roslee Awang, 43, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas terdengar suara meminta tolong ketika membuat rondaan di Jeti Zon Maritim Sandakan pada jam 10.50 malam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, ketika menjalankan rondaan di kawasan jeti berkenaan, pegawai bertugas harian terdengar suara meminta.

Katanya, susulan itu pemeriksaan di sekitar jeti dilakukan menggunakan ‘search light’ dan mengesan lokasi mangsa yang berada kira-kira 0.29 batu nautika selatan Pulau Berhala, tidak jauh dari Jeti Maritim Sandakan.

“Bot kilat 34 yang ditugaskan ke lokasi kejadian bagi tugasan Carilamat telah berjaya menyelamatkan dua lelaki dewasa.

“Namun bot yang dinaiki mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zainudin berkata, kedua-dua nelayan warga tempatan itu didapati tidak memakai jaket keselamatan dengan keadaan ombak yang besar dan arus yang kuat menyebabkan bot mereka terbalik dan tenggelam.

“Ketika cuaca yang tidak menentu serta ancaman angin kuat Monsun Timur Laut, komuniti nelayan dinasihati supaya tidak leka dan mengambil pengajaran agar patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut.

“Ini bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Tambah beliau lagi, sekiranya berlaku insiden di laut, orang ramai boleh terus menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999. – Info X