Search

Buang 20 tong berisi 400 liter petrol ke laut elak ditahan

December 25, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Penyeludup bertindak membuang 20 tong berisi 400 liter petrol ke laut selepas kegiatan haram mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Kegiatan itu dikesan anggota APMM Sandakan ketika sedang dalam operasi di kedudukan 1.6 batu nautika utara Pulau Bai, jam 3.10 petang.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, ketika sedang dalam operasi mengesan dua bot pancung dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, melihat kepada situasi itu, anggota APMM kemudiannya mengarahkan bot suspek berhenti dengan menggunakan alat pembesar suara untuk pemeriksaan.

“Namun kedua-dua bot berkenaan tidak memberikan kerjasama dan memecut laju sambil bertindak membuang 20 tong disyaki berisi petrol ke laut.

“Bot suspek kemudiannya menuju ke perairan cetek dan berbatu dalam usaha meloloskan diri daripada dikejar bot penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

20 tong berisi minyak petrol yang dibuang ke laut oleh penyeludupan bagi mengelak ditahan APMM di perairan Sandakan. – Foto/APMM

Menurutnya, semua minyak telah dirampas dan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan 1961,” katanya.

Bot nelayan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dengan membawa 45 penumpang tanpa kebenaran di perairan Sandakan. – Foto/APMM

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, beliau berkata, Zon Maritim Sandakan juga berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa 45 penumpang tanpa kebenaran pada hari yang sama. – Info X