Search

3 parah, 5 cedera kemalangan 2 kenderaan di Kota Marudu

December 25, 2023

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Tiga parah manakala lima cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Rakit, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.55 petang, mangsa parah iaitu pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max, wanita berusia 48 tahun patah paha kanan dan tangan kiri dan seorang penumpang perempuan berusia 15 tahun patah patah kaki kiri.

Turut parah pemandu lori tiga tan lelaki berusia 43 tahun patah paha kanan. Lima yang cedera iaitu tiga penumpang Isuzu D Max dan dua penumpang lori tiga tan.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan Isuzu D Max. – Foto/Bomba

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan awal di tempat kemalangan mendapati lori tiga tan dari arah Kampung Talantang menuju ke Langkon dengan muatan sawit manakala Isuzu D Max dari Penampang menuju ke Kanibungan, Pitas.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Isuzu D Max telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian depan sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, lori terpusing dan terbabas di kiri jalan KM/Pitas manakala Isuzu D Max telah terbalik di kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Anggota polis mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan di Jalan Rakit, Kota Marudu. – Foto/Bomba

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan Isuzu D Max berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

“Operasi ditamatkan pada jam 6.20 petang,” katanya. – Info X