BEAUFORT: Mayat seorang wanita warga asing dengan kesan kelar di leher dan tetakan di beberapa bahagian badan, ditemui di kawasan belukar, ladang sawit di Kampung Ulu Bambangan, Membakut, di sini, semalam.
Mayat wanita warga Filipina berusia 43 tahun itu ditemukan oleh ahli keluarganya sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang ketika turun bekerja di ladang sawit tempatnya bekerja.
Katanya, suami mangsa kemudian mencari isterinya dan menemui sehelai seluar warna hitam milik mangsa di tempat kerja suami mangsa di kebun sawit yang sama.
“Ahli keluarga mangsa seterusnya berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar mangsa dan akhirnya menemui mayat mangsa di belukar berhampiran.
“Ketika ditemui, terdapat kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dan siasatan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus.
“Selain itu, kesan luka bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai kesan kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam.
“Susulan itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.
“Keempat-empat suspek kini direman bagi membantu siasatan,” katanya.
Ismail berkata, usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas (D9), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik IPK Sabah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X