KOTA MARUDU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang di kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Delima Darat Pitas, di sini, Sabtu lalu.
Mangsa, Jasbidin Balon, 40, disedari hilang oleh isterinya, kira-kira jam 10 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu pada jam 8.21 pagi tadi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi sejauh 56 kilometer dari jarak balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan maklumat awal dari pengadu yang juga isteri mangsa, lelaki terbabit disedari hilang pada jam 10 pagi, Sabtu lalu.
“Sebelum kejadian mangsa keluar dari rumah dengan membawa pisau pemotong daging menuju ke hutan di belakang rumah mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pengadu meminta anaknya untuk mengekori bapanya, namun sebaik sampai di hutan mangsa tidak lagi kelihatan.
“Mangsa juga dilaporkan mengalami kemurungan semenjak kematian bapanya.
“Setakat ini operasi SAR giat dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X