Search

Mayat reput tanpa identiti ditemui di rumah pekerja

December 28, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Mayat tanpa identiti ditemukan di sebuah rumah pekerja, Jalan Pinangsoo Loro, di sini, pagi tadi.

Mayat yang sudah mula mereput berkenaan ditemui seorang pekerja pembersihan awam kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, polis yang menerima maklumat berkenaan terus bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal, mayat itu ditemui seorang pekerja yang diarahkan untuk memotong rumput dan membersihkan kawasan rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

“Mayat berkenaan ditemui tertiarap di atas lantai dalam keadaan sudah berulat dengan berpakaian baju merah, berseluar putih dan berambut panjang.

“Bagaimanapun identiti dan jantina mayat tidak dikenalpasti kerana mayat sudah mereput,” katanya dalam ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berlaku.

Katanya, hasil soal siasat terhadap pemilik tanah juga mendapati rumah pekerja berkenaan sudah lama ditinggalkan kosong dan kali terakhir dihuni pada perayaan Tahun Baru Cina lalu.

“Hasil semakan awal juga mendapati tiada laporan orang hilang diterima dalam tempoh terdekat di daerah Kudat.

“Mayat berkenaan sudah dihantar ke bilik mayat, Hospital Kudat untuk tindakan selanjutnya

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil untuk membantu siasatan lanjut. – Info X