Search

2 lelaki ditahan curi besi terpakai dari kapal kargo

January 12, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki yang menaiki bot kayu disyaki mencuri besi dari kapal kargo yang terkandas di kedudukan 0.09 batu nautika laut Jeti Liberty, di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 20 dan 29 tahun ditahan bot peronda APMM Labuan yang sedang membuat rondaan Operasi Op Sejahtera dan Op Tiris 3.0, kira-kira jam 9.30 malam.

Pengarah APMM Zon Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, ketika menjalankan rondaan mengesan sebuah bot kayu yang tiada nombor pendaftaran warna jingga bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Bot kayu itu ditahan untuk tujuan pemeriksaan dan didapati terdapat dua lelaki yang mana seorang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut bot kayu itu dipenuhi dengan besi terpakai disyaki dicuri dari kapal kargo yang terkandas berdekatan Pulau Daat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Besi terpakai yang ditemui di dalam bot kayu dinaiki kedua-dua suspek. – Foto/APMM

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati bot kayu berkenaan tidak memiliki lesen yang sah untuk beroperasi.

“Dua kru bersama bot serta besi terpakai ditahan dan diiring masuk ke Jeti APMM Labuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 474(2) dan Seksyen 385(3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan secara salah mengangkut atau mengalih mana-mana bahagian kapal wrek atau kargo dan bot tidak memiliki lesen yang sah untuk beroperasi.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – Info X