KOTA KINABALU: Penyediaan tangki pengagihan bekalan air berbayar untuk penempatan setinggan di Sabah dicadang bagi mengatasi masalah penyambungan haram dan kecurian air yang dilakukan penghuni kawasan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata penyambungan haram dengan menebuk paip milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) antara punca gangguan dan kekurangan bekalan air di negeri ini.
Beliau mengakui, masalah itu berlaku di Parlimen Sepanggar yang diwakilinya berikutan kewujudan banyak koloni setinggan, menyebabkan bekalan air kepada pengguna sah, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) terjejas.
“Memang isu setinggan ini ada kaitan dengan gangguan bekalan air, namun ada beberapa langkah penyelesaian sudah dicadangkan untuk menanganinya, termasuk membina tangki sementara di sekitar kawasan setinggan.
“Ini bukan bermakna kita menggalakkan setinggan, tapi supaya ada sumber air untuk kawasan itu dan mereka bayar dengan JANS, berbanding berterusan menebuk paip (untuk curi air).
“Apabila paip ditebuk, ia akan memberi kesan kepada pengguna lain, jadi kita melihat perkara ini dan sudah melawat Kampung Suang Parai (kawasan setinggan), di sini, untuk tujuan itu,” katanya ditemui selepas mendengar taklimat mengenai situasi masalah air dan projek pembinaan telaga tiub di UMS, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian ketika diminta mengulas masalah air yang dihadapi UMS dan sekitarnya ketika ini yang antara lain berpunca daripada kehadiran penempatan setinggan yang besar.
Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataannya mendedahkan dianggarkan ada 12,000 rumah setinggan di kawasan Sepanggar sahaja yang menyebabkan kehilangan air tidak berhasil (NRW) sehingga 18 juta liter sehari (MLD).
Mustapha berkata, penyediaan tangki khas untuk penempatan setinggan itu dicadangkan sendiri pihak JANS dengan mengambil kira faktor kemanusiaan terhadap penghuni kawasan berkenaan.
“Berdasarkan laporan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebanyak 70 peratus penghuni setinggan di Sepanggar ini terdiri daripada warga tempatan dan hanya 30 peratus pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Jadi, atas faktor kemanusiaan kita juga perlu bantu penghuni kawasan berkenaan tetapi ini di bawah bidang kuasa JANS,” katanya.
Sebelum ini, JANS dilapor sering melaksanakan operasi pemotongan penyambungan haram paip di kawasan setinggan, namun ia sukar ditangani memandangkan penghuninya tidak serik mengulangi perbuatan itu bagi mendapatkan air.
Selain setinggan, pertumbuhan pesat taman perumahan dan pembukaan kilang baharu di sekitar Sepanggar, dekat sini juga dilihat antara punca bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, di Tuaran tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa. – Info X