KOTA KINABALU: Tindakan pantas pasukan bomba mengawal kebakaran selama 20 minit berjaya menyelamatkan sebuah kilang membuat perabot di Kampung Sungai Darau, Inanam, di sini daripada musnah terbakar, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, kebakaran hanya membabitkan peralatan membuat perabot dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Bomba, Kiniremmy Zikol@Lupi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.52 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan kerjasama BBP Kota Kinabalu, kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, api marak dan kebakaran membabitkan peralatan membuat perabot.
“Pemadaman segera dilakukan dengan menggunakan dua aliran dan dua pancutan air dari tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebakaran terkawal pada jam 12.15 tengah malam.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba.
“Operasi tamat pada jam 12.56 tengah malam,” katanya. – Info X