KOTA KINABALU: Seorang ejen hartanah yang menjadi viral kerana mengugut guru sekolah anaknya didakwa atas dua pertuduhan, di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, merupakan bapa pelajar sekolah menengah yang mengasari seorang guru kerana mengambil tindakan terhadap anaknya yang merokok di kawasan sekolah, pada 29 Januari lalu.
Bagaimanapun Daniel mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan majistret Stephanie Sherron Abbie.
Bagi pertuduhan pertama, Daniel didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang guru lelaki berusia 40 tahun di perkarangan gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu jam 9.30 pagi pada 29 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat sama.
Mahkamah menetapkan 7 Mac ini, untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip.
Daniel diwakili peguam Lim Chun Yuan dan Jo Anne Jameson.
Terdahulu, Nahra menawarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua kes dengan dua penjamin tempatan.
Bagaimanapun Chun Yuan meminta jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan jumlah itu hanya untuk memastikan kehadiran, bukan hukuman.
Mengulas lanjut pengurangan itu, Chun Yuan berkata, anak guamnya mempunyai seorang anak dan perlu menjaga ibu serta keluarganya.
Baru-baru ini, video tertuduh bertindak agresif termasuk menolak dan mencekik guru berkenaan sehingga hampir terjatuh, selepas menahan anak lelaki berkenaan yang merokok dalam tandas sekolah berkenaan.
Dalam satu lagi klip yang tular, pelajar itu dilihat bersemuka dengan guru berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelajar Tingkatan Lima berkenaan masih dibenarkan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun sudah dibuang sekolah.
Untuk rekod, pelajar itu ditangkap merokok pada 29 Januari lalu, yang membawa kepada kejadian dan penahanan tertuduh.
Hukuman bagi ugutan jenayah memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – Info X