TAMBUNAN: Lapan cedera termasuk dua penghuni rumah selepas sebuah kereta berlanggar dengan dua motosikal sebelum merempuh rumah berkenaan di Jalan Kampung Dalab Pantai, di sini malam tadi.
Penghuni rumah seorang wanita dan lelaki berusia 48 dan 45 tahun cedera ringan manakala dua penunggang motosikal lelaki masing-masing berusia 19 tahun turut cedera.
Sementara itu, pemandu Proton Saga BLM lelaki berusia 45 tahun dan tiga penumpang berusia empat, lima dan 17 tahun cedera ringan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.05 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan kereta Proton Saga BLM berlanggar dengan dua motosikal dan seterusnya merempuh rumah berhampiran mengakibatkan kerosakan sebuah bilik rumah berkenaan.
“Rawatan awal dilakukan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam,” katanya. – Info X