Search

Penstabilan bekalan air di Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dijangka selesai bulan ini

February 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini dalam proses untuk menstabilkan bekalan air di kawasan ibu negeri, Putatan dan Penampang bagi mengurangkan gangguan yang dialami pengguna ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata proses itu yang turut membabitkan penyelarasan semula agihan air dari beberapa loji rawatan air (LRA) yang membekal air ke ketiga-tiga kawasan itu dijangka siap pada bulan ini.

Katanya, pelaksanaan proses itu sejajar penambahan bekalan sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) dari LRA Telibong 2 Fasa Dua di Tuaran yang sudah mula disalurkan ke sistem paip sedia ada, khususnya untuk kawasan Sepanggar dan utara Kota Kinabalu.

Beliau berkata, kontraktor membuat sambungan ke paip sedia ada bagi menyalurkan air dari loji baharu itu sementara menunggu penyiapan pemasangan paip utama untuk membekal 80 MLD dari loji berkenaan.

“Namun demikian kita membuat sambungan ke dalam jaringan (paip) sedia ada, jadi ini boleh membenarkan lebih kurang 30 MLD daripada 80 MLD tambahan kepada jumlah air untuk diagihkan di kawasan Sepanggar dan utara Kota Kinabalu.

“Apabila ini sudah dilakukan maka bekalan air terawat dari LRA Moyog (Penampang) boleh fokus kepada Kota Kinabalu dan LRA Kasigui (Penampang) boleh fokus di Putatan.

“Jadi, dalam sedikit masa lagi, insyaAllah kita akan dapat menstabilkan keadaan air di sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang, dijangka dalam Februari ini juga,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan kerja pemulihan bekalan air di sekitar ibu negeri dan daerah berhampiran, di sini.

Ketika ini, gangguan bekalan air menjejaskan ribuan pengguna di sekitar Sepanggar dan utara bandar raya Kota Kinabalu, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain daerah berhampiran termasuk di Putatan.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata ketika ini banyak tangki pengagihan bekalan air tidak dapat diisi berikutan gangguan tekanan air akibat kekurangan bekalan dari LRA sebelum ini.

Keadaan itu, katanya menyebabkan pengguna masih tidak menerima bekalan, namun ia dijangka pulih apabila pihak JANS dapat membina semula tekanan yang mencukupi untuk menyalurkan air ke semua tangki melalui proses penstabilan bekalan.

“Di sekitar Putatan, contohnya banyak tangki agihan air kosong kerana tidak menerima bekalan dari loji disebabkan masalah tekanan. Jadi, tekanan itu perlu diwujudkan semula menerusi langkah penstabilan bekalan air,” katanya. – Info X