TAWAU: Seorang wanita obesiti dengan berat badan 200 kilogram (kg) terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk mengangkatnya ke ambulans sebelum dihantar ke hospital, hari ini.
Wanita berusia 53 tahun itu mengalami muntah-muntah di kediamannya di tingkat satu bangunan kedai di Jalan Apas, Batu 3, di sini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 pagi bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengangkat mangsa obesiti.
“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba pasukan operasi membantu mengangkat mangsa dari tingkat satu ke ambulans KKM.
“Seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan pada jam 10.28 pagi. – Info X