Search

Bekas pelajar kolej vokasional curi tabung surau ditahan

February 11, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang bekas pelajar di sebuah kolej vokasional di sini, ditahan selepas mencuri duit tabung surau di kolej berkenaan, semalam.

Suspek lelaki berusia 18 tahun itu ditahan oleh pengawal keselamatan sebaik kegiatannya itu disedari guru di kolej berkenaan yang menerima notifikasi rakaman kamera liter tertutup (CCTV), jam 9.01 malam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, bertindak atas aduan, anggota Ronda Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort diarahkan untuk pergi ke tempat kejadian.

“Suspek kemudian ditahan dan berdasarkan pemeriksaan di dalam beg suspek menemui wang tunai pelbagai nilai berjumlah RM228.20.

“Turut dirampas tabung surau dan alat yang digunakan oleh suspek untuk mengumpil tabung berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek adalah bekas pelajar di kolej berkenaan.

“Kejadian itu disedari oleh guru di kolej berkenaan selepas menerima notifikasi dari aplikasi CCTV dan melihat seorang lelaki sedang mengumpil tabung yang diletakkan di hadapan pintu masuk surau.

“Guru itu kemudian menghubungi pengawal keselamatan yang bertugas untuk tindakan awal dan berjaya menahan suspek terbabit,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula esok sehingga 15 Februari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – Info X