Search

Maut selepas hampir 10 jam bertarung nyawa

February 26, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki meninggal dunia selepas hampir 10 jam bertarung nyawa apabila motosikal ditunggangi terbabas sehingga masuk ke dalam parit di Jalan Kampung Tunon, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 40 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, jam 9.25 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal polis, mendapati mangsa menunggang motosikal datang dari arah Jalan Tambunan menuju ke Pekan Donggongon.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas sendiri ke kiri bahu jalan sehingga masuk ke dalam parit.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa cedera di bahagian kepala dan dibawa ke HQE I, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi oleh pegawai perubatan Jabatan Kecemasan HQEI Kota Kinabalu.

“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata, pihaknya menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya. – Info X