Search

Kanak-kanak autisme hilang di Penampang

March 1, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang kanak-kanak perempuan autisme dikhuatiri hilang dari rumahnya di Kampung Sugud, di sini, petang tadi.

Avelyn Alesha Jude, 6, tanpa memakai baju disedari hilang kira-kira jam 4 petang oleh ibunya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ishak Amran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.44 petang.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut ibu kepada kanak-kanak terbabit, mangsa disedari tiada di rumah kira-kira 4 petang dan usaha mencari dijalankan bersama orang kampung.

“Namun mangsa gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang di Kampung Sugud, Penampang. – Foto/Bomba

Ishak berkata, pasukan bomba kemudian ke lokasi untuk mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Kampung berkenaan dijalankan.

“Sehingga kini mangsa belum ditemui.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi SAR turut dijalankan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. – Info X