KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengutip sebanyak RM145,302,446.72 zakat yang dibayar umat Islam di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin, berkata RM134,051,385.46 daripada jumlah itu adalah pungutan zakat harta, dikuti RM11,251,061.26 kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun lalu.
“Jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun 2023 pula adalah seramai 1,607,201 orang iaitu meningkat seramai 46,587 orang atau 2.99 peratus berbanding pada 2022 seramai 1,560,614 orang,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Zakat Fitrah bagi tahun ini, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi agihan zakat pada tahun lalu, Yahya berkata Bahagian Zakat Dan Fitrah MUIS membuat agihan sebanyak RM140,953,600.96 kepada golongan asnaf di negeri ini.
Jumlah itu, katanya membabitkan seramai 110,459 orang asnaf, manakala lebihan yang tidak sempat diagih pada akhir tahun lalu mula diagih pada awal tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Zakat Dan Fitrah MUIS memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta untuk diagihkan kepada empat golongan asnaf pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM18.1 juta akan diagihkan kepada asnaf fakir iaitu seramai 12,409 orang asnaf, diikuti asnaf miskin seramai 31,268 orang dan asnaf mualaf seramai 3,402 orang bagi menggembirakan hati mereka untuk menyambut satu Syawal.
“Sebanyak RM1.5 juta pula akan diagihkan kepada 2,200 orang wakil amil fitrah sebagai upah amil kerana mereka bertugas memungut dan mengagihkan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini,” katanya.
Yahya berkata, pada tahun ini, Bahagian Zakat Dan Fitrah MUIS menyasarkan sebanyak RM156,725,000 pungutan zakat dan fitrah iaitu masing-masing RM11,725,000 zakat fitrah, manakala RM145 juta lagi zakat harta. – Info X