Search

Tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak masih mahal

March 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu harga tiket penerbangan yang mahal di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak setiap kali menjelang cuti perayaan atau sekolah belum ada kesudahan.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, beliau sudah berulang kali membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat, namun harga tiket masih mahal dan membebankan pengguna apabila tiba cuti sekolah, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas.

“Harga tiket penerbangan akan melambung tinggi sehingga membebankan pengguna yang menggunakan penerbangan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Ini bukan isu baharu tetapi kerap berlaku, malah berulang kali saya suarakan pada sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau mendakwa harga tiket penerbangan di antara Sabah dan Semenanjung apabila cuti sekolah atau musim perayaan tidak masuk akal apabila mencecah hingga RM3,800 sehala bagi kelas ekonomi.

Ketua UMNO Sabah itu menyifatkan perbuatan syarikat penerbangan mengenakan kadar tambang yang tinggi tidak ubah seperti ‘menghisap darah’ rakyat.

“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan fenomena sebegini, cukup-cukuplah ‘hisap darah’ rakyat, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan ini sudah tentu akan membebankan ibu bapa yang anak-anak mereka belajar di Semenanjung untuk balik ke Sabah semasa cuti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pengangkutan untuk melihat perkara berkenaan secara lebih serius agar rakyat tidak terus terbeban terutama dalam ekonomi negara yang semakin mencabar ketika ini.

Disebabkan tiket yang mahal, katanya ramai rakyat Sabah di Semenanjung yang mahu balik kampung terpaksa membatalkan hasrat itu akibat tidak mampu membeli tiket penerbangan. – Info X