Search

Bekalan air di KK, Penampang dan Putatan merosot mulai hari ini

March 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ribuan penduduk di sekitar bandar raya ini, Penampang dan Putatan dijangka mengalami gangguan air berikutan pengurangan bekalan sebanyak dua juta liter sehari (JLS) selama 10 hari, bermula hari ini (7 Mac).

Berdasarkan notis dikeluarkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), pengurangan bekalan itu berpunca daripada kerja penggantian penapis di Loji Rawatan Air (LRA) Moyog di Penampang.

Kerja yang dijalankan di loji terbabit menyebabkan pengeluaran air bersih dari LRA Moyog merosot daripada 189 MLD kepada 187 MLD bermula hari ini hingga 16 Mac depan.

“Pengurangan sementara pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Moyog, disebabkan kerja penggantian Filter Media No 3 (189 MLD ke 187 MLD). Tempoh gangguan bermula jam 8 pagi sehingga kerja penggantian selesai.

“Pelanggan di kawasan yang terjejas disarankan untuk menyimpan air yang mencukupi dan menggunakan air secara berhemah,” kata notis berkenaan.

Notis luar jangka itu dimuat naik di laman Facebook JANS pada jam 9 malam tadi.

Antara lokasi disenaraikan JANS yang akan terjejas ialah pusat bandar raya Kota Kinabalu, Kepayan, Tanjung Aru, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sembulan, Karamunsing, Signal Hill, Likas, Tanjung Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang dan Bukit Padang bagi daerah Kota Kinabalu.

Di Penampang pula, antara lokasi yang akan terjejas ialah Kobusak, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Jalan Penampang Baru, Jalan Penampang – Papar Lama, Jalan Papar Baru, Jalan Pintas, Donggongon, Jalan Panglima Banting, Country Heights Apartments, Jalan Bundusan dan Beverly Hills Apartments.

Bagi daerah Putatan pula, lokasi yang dijangka terjejas akibat pengurangan bekalan air itu ialah sekitar pekan Putatan dan Petagas, Kampung Ketiau serta kawasan yang berhampiran. – Info X