LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala tiga termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Dewata, Batu 21,di sini, hari ini.
Mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.53 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux. Kenderaan pertama dinaiki empat individu dan semuanya tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Manakala Toyota Hilux kedua terdapat empat mangsa dan seorang disahkan meninggal dunia manakala tiga termasuk kanak-kanak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh ambulans KKM.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diambil ahli oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 1.47 tengah hari,” katanya. – Info X