SANDAKAN: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui pihaknya ada berbincang dengan parti tertentu mengenai kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Tanpa menyebut nama parti terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu bagaimanapun berkata belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perbincangan itu.
Katanya, UMNO perlu meneliti dengan sebaik mungkin kerjasama dengan mana-mana parti kerana tidak mahu dikhianati selepas pilihan raya nanti.
“Berbincang dan memutuskan adalah dua perkara berbeza. Kita ingin melihat mana-mana parti yang kita rasa boleh membawa keuntungan dan pemimpin parti itu juga menghormati parti kita dan keputusan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Akar Umbi (GERAK 17) UMNO Sabah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan ADUN Sungai Manlia, Datuk Mokran Ingkat.
Bung Moktar berkata, bagi menghindari ‘pisang berbuah dua kali’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengambil langkah lebih berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17.
Katanya, pengalaman sebelum ini apabila sumbangan dan jasa UMNO/BN untuk sama-sama membentuk kerajaan negeri selepas PRN16 lalu dinafikan, dijadikan pengajaran dan iktibar agar tidak berulang.
“Kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu. Walaupun kita ketika itu tinggal serumah, namun bilik asing-asing ibarat melukut di tepi gantang. Kali ini kita tidak mahu lagi selepas berunding nanti kita dikhianti,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu menegaskan UMNO dan BN Sabah hanya akan menjalin kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian bersama.
“Kita akan melihat rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah, kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah,” katanya.
UMNO Sabah sebelum ini dispekulasi mahu bekerjasama dengan Warisan bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 walaupun kesemua mereka berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
Sementara itu, Bung Moktar berkata BN Sabah melantik seramai 25 penyelaras bagi setiap Parlimen di negeri ini sebagai persediaan menghadapi PPN17.
Katanya, cadangan melantik penyelaras di setiap bahagian sudah lama dikemukakan kepada Majlis Tertinggi BN, namun baru diluluskan pada awal bulan ini.
“Pada 5 Mac lalu, BN Pusat bermesyuarat dan mempersetujui pelantikan 25 penyelaras BN di seluruh Parlimen di Sabah.
“Bagi saya ini amat baik sebab penyelaras yang dilantik akan memanggil ketua-ketua di kawasan masing-masing untuk membincangkan hala tuju dan masa depan BN dalam berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tempoh DUN sekarang berakhir pada Oktober tahun depan, namun kebiasaannya PRN Sabah diadakan sebelum tempoh lima tahun itu tamat.
Berikutan itu, katanya UMNO dan BN Sabah perlu bersedia lebih awal untuk menghadapi PRN17. – Info X