KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) tampil memberi penjelasan berhubung pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dengan Shaanxi Construction and Engineering Group (Shaanxi) hari ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, MAFFI menjelaskan bahawa MoU dengan syarikat itu tertumpu kepada langkah untuk memulakan kajian usaha wajar projek mitigasi banjir, pengairan dan perparitan di Sabah.
Kenyataan itu berikutan ada kekeliruan berhubung tujuan MoU itu, khususnya berkaitan jumlah pelaburan yang disebut bakal dibawa Shaanxi bagi melaksanakan projek mitigasi berkenaan.
“Meskipun laporan awal dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa ada satu jumlah pelaburan signifikan oleh Shaanxi, tapi adalah mustahak untuk dijelaskan bahawa MoU itu adalah untuk memulakan kajian usaha wajar.
“Kajian itu akan digunakan untuk menilai kebolehlaksanaan projek mitigasi banjir, pengairan dan perparitan di Sabah. MAFFI melihat MoU ini sebagai langkah awal kebolehlaksanaan projek itu.
“Bagaimanapun, adalah penting untuk dijelaskan bahawa pemeteraian MoU itu bukan menandakan pemuktamadan perjanjian pelaburan atau komitmen daripada kedua-dua pihak bagi melaksanakan sebarang projek yang terhasil daripada dapatan kajian usaha wajar itu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa sebarang pembangunan pada masa depan daripada MoU terbabit tertakluk kepada penilaian ketat dan konsultasi dengan pemegang taruh bagi memastikan ia sejajar dengan nilai dan keutamaan kerajaan Sabah.
“Kami menggesa orang ramai dan media supaya tidak melakukan spekulasi sehingga butiran lanjut berhubung hasil daripada kajian usaha wajar itu sudah diperolehi,” katanya.
Dalam laporan terdahulu, syarikat yang terbabit dalam MoU itu dikatakan bakal membawa pelaburan mencecah RM17 bilion ke negeri ini bagi membantu menyelesaikan isu banjir, pengairan dan perparitan seperti dijelaskan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. – Info X