KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mencari penyelesaian jitu terhadap isu kemiskinan di Sabah dan mengeluarkan lapan daerah termiskin yang tersenarai di negeri ini.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah yang lebih konkrit dan bersepadu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kemiskinan di daerah terbabit iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Ranau, Lahad Datu dan Tuaran.
Beliau berkata, kadar kemiskinan di semua daerah itu mesti diturunkan sejajar komitmen kerajaan negeri membangunkan Sabah menerusi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Jika isu ini tidak diselesaikan segera ia akan merencatkan hala tuju SMJ kerana masih ada beberapa daerah di negeri ini dalam garis kemiskinan walaupun banyak kejayaan SMJ dilaungkan kerajaan negeri.
“Perlu ada tindakan dan penyelesaian bersepadu, jika tidak gagasan SMJ hanya dilihat retorik semata-mata, gagal mencapai matlamatnya dan dalam masa yang sama imej kerajaan negeri akan tercalar dan menggambarkan slogan SMJ tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas laporan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berhubung isu kemiskinan di Sabah dalam jawapannya berhubung perkara itu di Parlimen, kelmarin.
Rafizi berkata, Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah terbabit lebih tinggi berbanding kadar nasional.
Katanya, Tongod mencatat kadar tertinggi iaitu 5.9 peratus, diikuti Beluran (lima peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (empat peratus), Tuaran (2.6 peratus) dan Ranau serta Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata walaupun kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pertanian bagi membantu golongan miskin di negeri ini, sasaran itu tidak dapat membawa impak yang tinggi terhadap kenaikan taraf sosio ekonomi rakyat.
Jelasnya, ia disebabkan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik masih bermasalah dan menyukarkan rakyat melakukan rutin harian mereka.
“Kerajaan menggalakkan rakyat menceburi bidang pertanian bagi menambah sumber pendapatan tetapi mereka berdepan sistem perhubungan jalan raya yang tidak sempurna.
“Jadi, bagaimana rakyat membawa keluar hasil pertanian mereka dalam ketiadaan sistem perhubungan jalan raya yang baik,” katanya. – Info X