Search

Kerusi Parlimen Putatan mesti dikosongkan jika Shahelmey tanding PRN17

March 17, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Putatan perlu diadakan jika Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Ir Shahelmey Yahya bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerusi itu yang disandang Shahelmey sejak November 2022 mesti dikosongkan jika beliau mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

Katanya, Shahelmey yang kini digantung keahlian dalam UMNO perlu mematuhi peraturan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen jika membuat keputusan untuk bertanding pada PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

“Keputusan di tangan dia (Shahelmey), kalau dia bertanding bermakna dia perlu mengikut peraturan, dia kena letak jawatan Ahli Parlimen.

“Maka nanti mungkin ada pilihan raya serentaklah, iaitu PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Putatan. Itu peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.

Bung Moktar diminta mengulas kedudukan Shahelmey pada PRN nanti jika jika beliau bertanding semula bagi mempertahankan kerusi DUN Tanjung Keramat yang dimenanginya atas tiket UMNO Barisan Nasional (BN) ketika PRN16 pada September 2020.

Persoalan mengenai kedudukan kerusi Parlimen Putatan timbul memandangkan Shahelmey kini digantung oleh UMNO dan tidak mungkin dicalonkan semula mewakili parti itu pada PRN17.

Ia bermakna Shahelmey perlu bertanding atas tiket bebas atau parti lain, namun tindakan itu bertentangan dengan undang-undang anti lompat parti, sekali gus menyebabkan kerusi Parlimennya yang masih dianggap milik UMNO dan BN diisytihar kosong.

Dalam pada itu, Bung Moktar yakin UMNO Sabah mampu memenangi semula kerusi Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat jika PRK dan PRN17 diadakan nanti.

“InsyaAllah, kita mempunyai ramai calon yang boleh diletakkan sekiranya ada PRK Putatan nanti,” katanya.

Sebelum ini, UMNO menggantung keahlian Shahelmey selama enam tahun bermula tahun lalu selepas tidak bersetuju terhadap keputusan UMNO Sabah menarik sokongan daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Shahelmey menyatakan pendiriannya untuk terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan GRS selepas Bung Moktar mengumumkan keputusan UMNO Sabah untuk menamatkan kerjasama dengan GRS atas alasan hilang kepercayaan terhadap Hajiji pada Januari tahun lalu.

Peristiwa yang dinamakan Langkah Kinabalu itu dilihat sebagai cubaan UMNO Sabah bersama Parti Warisan (WARISAN) untuk menjatuhkan Hajiji dan kerajaan GRS pimpinannya.

Namun, cubaan itu gagal apabila sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan semua ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan sokongan kepada Hajiji.

Selain Shahelmey, empat lagi ADUN UMNO turut menyokong Hajiji iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild Awang (Balung).

Keempat-empatnya turut digantung keahlian dalam UMNO, namun mereka sudah membuat keputusan keluar daripada parti itu dan kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diketuai Hajiji. – Info X