Search

12 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Kota Kinabalu

March 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di tiga lokasi berasingan, semalam.

Operasi selama 12 jam bermula jam 9 pagi itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama enam agensi membabitkan kekuatan keseluruhan 125 pegawai dan anggota.

Antara agensi terbabit iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Ketua Menteri (JKM), Sabah Eletricity SDN BHD (SESB) dan Jabatan Tanah Dan Ukur Negeri Sabah (JTU).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan dijalankan di tiga lokasi iaitu Kampung Lokub, kawasan penempatan kilang Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Indah Permai.

Katanya, hasil pemeriksaan awal, pasukan operasi berjaya menahan 33 individu warga asing dan hanya 12 ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seramai enam lelaki dan enam wanita ditahan membabitkan sembilan warga Filipina, dua Indonesia dan seorang warga Pakistan.

“Semua tangkapan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk didokumentasi oleh Cawangan Khas, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Ketua Menteri (JKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lokasi serbuan dalam operasi bersepadu di Kota Kinabalu. – Foto/PDRM

Mohd Zaidi berkata, sebaik selesai proses dokumentasi, semua tangkapan akan dirujuk kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imegresen 1956.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, dalam operasi bersepadu berkenaan, pihak JTU juga turut merobohkan sebanyak 15 rumah PATI selepas disahkan didirikan di atas tanah milik UITM.

Selain itu katanya, pasukan operasi turut merampas kabel elektrik yang dikenalpasti sebagai penyambungan haram.

“Tiada sebarang aktiviti yang tidak sihat yany dikesan sepanjang pemantauan oleh pasukan polis.

“Operasi bersepadu kali ini juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya. – Info X