KOTA KINABALU: Sabah memerlukan politik yang stabil untuk kerajaan fokus melaksanakan agenda pembangunan negeri, bukan pemimpin yang suka menuding jari mencari kesalahan dan mensabotaj usaha kerajaan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata menuding jari kepada kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal, membawa erti bahawa kerajaan tidak berbuat apa-apa, sedangkan pelbagai tindakan dan pendekatan sudah dan sedang diambil.
Malah, katanya ada yang sudah dirasai rakyat, manakala usaha yang lain sedang menyusul untuk disiapkan sejajar dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus untuk menyelesaikan isu dihadapi rakyat negeri ini.
Beliau juga tidak menafikan bahawa sebahagian pemimpin kerajaan hari ini datang daripada kerajaan lalu, situasi pada masa itu berbeza dengan apa yang berlaku pada hari ini.
“Walaupun parti yang memimpin kerajaan Sabah pada waktu itu adalah parti tunjang dari Semenanjung yang sangat dominan namun Sabah selalu dipinggirkan kerana agihan dana pembangunan yang diterima dari kerajaan persekutuan tidak memenuhi keperluan sebenar pembangunan di Sabah yang besar.
“Masih banyak isu kemudahan asas di Sabah tidak dapat diselesaikan dan atas kesedaran kepada kelemahan itulah maka sudah sampai masa untuk pemimpin dan rakyat Sabah bersatu-padu meneruskan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Sabah dalam wadah parti tempatan kerana negeri ini adalah rumah kita.
“Rakyat Sabah mesti bersatu dalam satu wadah tempatan dan mengelakkan perpecahan bagi menjaga kepentingan negeri serta rakyat Sabah, selain kepentingan nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, berkata setakat ini kerajaan GRS-PH Plus pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan petanda yang positif dalam semua aspek perjuangan.
Ia termasuk dari segi peningkatan ekonomi negeri, perjuangan menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan langkah penyelesaian isu legasi kemudahan asas yang berdekad.
“Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sentiasa memahami keperluan Sabah dan bersama dengan perjuangan kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji.
“Untuk menoktahkan punca kegagalan menaik taraf atau menyelesaikan kemudahan asas negeri, maka kerajaan Sabah hari ini menuntut untuk mengambil alih kawal selia tenaga, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Jabatan Teknikal, pelaksanaan projek-projek persekutuan di bawah RM50 juta selain menubuhkan tabung amanah bagi peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan agar keadaan lalu tidak berulang,” katanya.
Kerajaan GRS-PH Plus, katanya bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah serta meletakkan perjuangan untuk memajukan rakyat dan membangunkan Sabah sebagai keutamaan dan wajib dilaksanakan.
Jelasnya, kerajaan Sabah hari ini berada di landasan yang tepat untuk terus membawa pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, membidas sikap pemimpin pembangkang yang kerap menuding jari terhadap masalah kemudahan asas yang sedang dihadapi rakyat sebagai kegagalan kerajaan Sabah hari ini.
“Kerajaan GRS-PH Plus tidak menuding jari kepada mana-mana pihak berkaitan masalah kemudahan asas negeri yang masih daif, akan tetapi hanya memulangkan paku buah keras kepada sikap pemimpin parti pembangkang di Sabah seperti Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed yang kerap menuding jari kepada masalah kemudahan asas dihadapi rakyat sebagai kegagalan kerajaan.
“Sikap pemimpin pembangkang seperti ini yang sentiasa menuduh kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal seolah mengesahkan andaian bahawa pemimpin pembangkang ini tidak ikhlas untuk memajukan Sabah dan terlalu kuat bermain politik dengan berusaha mensabotaj segala langkah penyelesaian oleh kerajaan ke atas masalah legasi yang berdekad ini,” katanya.
Jelasnya, walaupun kerajaan hari ini hanya berumur tiga tahun dan menghadapi pelbagai rintangan termasuk serangan pandemik Covid-19 dan peristiwa kudita pihak yang ingin menjadi kerajaan pintu belakang, kerajaan pimpinan Hajiji sentiasa fokus dan sedaya upaya menyelesaikan masalah yang diwarisi selama berdekad itu. – Info X