KOTA KINABALU: Kebanyakan kawasan di Sabah diramal mengalami cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius yang dijangka berterusan sepanjang tujuh hari akan datang.
Situasi yang sama dilaporkan sepanjang minggu lalu.
Perkembangan itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi laporan Ramalan Cuaca Signifikan yang dikeluarkan Ketua Pengarahnya pada tengah hari tadi.
Suhu yang tinggi itu turut diramal dialami di kebanyakan tempat di Semenanjung, namun bahagian barat Semenanjung diramal berpotensi berlaku ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang.
Keadaan yang agak lembab itu juga diramal dirasai di utara Sarawak pada lewat petang dan awal malam.
MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasminya serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini dan sahih. – Info X