Search

Sabah mampu muncul antara negeri terbaik dalam tempoh lima tahun, kata Ketua Menteri

March 24, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Sabah untuk muncul sebagai antara negeri terbaik di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, pencapaian itu mampu dilakar menerusi perancangan yang baik dan teratur untuk memperbaiki tahap sosio ekonomi rakyat negeri ini.

“Apa yang penting ialah perancangan kita untuk membantu dan memperbaiki tahap sosio ekonomi rakyat,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid As-Sajdin, Mukim Tambalang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mahu Tuaran menjadi contoh terbaik amalan perpaduan dan sokongan penuh terhadap kerajaan negeri sekarang.

“Saya mahu Tuaran menjadi contoh terbaik dalam memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu dan fitnah yang disebarkan pembangkang dalam dakyah mereka untuk memburukkan kerajaan.

Hajiji menyampaikan sumbangan pada majlis berbuka puasa Mukim Tambalang di Tuaran.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau mempunyai jadual yang padat sepanjang Ramadan ini tetapi tetap berusaha untuk meluangkan masa berjumpa dengan rakyat dan berbuka puasa bersama.

“Besok saya akan ke Pulau Pinang untuk berbuka puasa bersama 1,400 pelajar tajaan Yayasan Sabah,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat mengambil peluang mengukuhkan hubungan dan persahabatan sepanjang bulan Ramadan.

“Kita juga jangan lupakan rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kepada 728 penerima dari 21 kampung di Mukim Tambalang.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali. – Info X