KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mungkin bekerjasama dengan Parti Warisan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata soal kerjasama dengan WARISAN tidak pernah timbul sama sekali.
“Kitapun (GRS) tidak mahu bekerjasama dengan WARISAN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Biro Penerangan Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Beliau diminta mengulas kenyataan Mohd Shafie yang menganggap tidak boleh bekerjasama dengan GRS setelah WARISAN kehilangan seramai 11 wakil rakyat selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020 yang didakwanya diambil GRS.
Dalam pada itu, Nizam berkata, Gagasan Rakyat bersama parti komponen lain dalam GRS dan rakan kerjasama mereka sudah siap sedia berdepan sebarang kemungkinan berkaitan lawan yang bakal dihadapi pada PRN17 nanti.
Jelasnya, tidak kira siapapun lawan mereka, termasuk kemungkinan WARISAN bergabung dengan UMNO Sabah, GRS tidak gentar untuk mempertahankan kerajaan negeri yang ketika ini diterajui GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus.
“UMNO bergabung dengan WARISAN saya tidak mahu komen, itu urusan mereka. Tapi, tidak kira dengan siapapun mereka bergabung, kita sudah bersedia.
“Kita juga masih ada setahun setengah lagi yang perlu ditumpukan untuk memajukan Sabah sebelum berdepan dengan PRN17,” katanya.
WARISAN sebelum ini sudah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRN17 nanti, manakala di pihak UMNO pula menyatakan perkara itu belum diputuskan lagi, namun mengakui perlunya kerjasama dengan parti lain untuk memenangi pilihan raya.
Sementara itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah menyifatkan serangan pembangkang, khususnya WARISAN terhadap pencapaian GRS ketika ini sebagai lumrah amalan politik.
Bagaimanapun, katanya tuduhan dan tohmahan pembangkang yang dilemparkan terhadap GRS hanyalah dakyah politik yang tidak berasas menjelang pilihan raya untuk cuba menjatuhkan kerajaan negeri yang ada pada ketika ini.
“Bagi saya itu adalah tugas mereka sebagai pembangkang kerana dalam fikiran mereka hanya untuk menidakkan usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan GRS – PH Plus.
“Hakikatnya, kerajaan negeri sekarang terbukti dapat memenuhi kehendak rakyat Sabah. Kita dapat lihat ekonomi negeri semakin positif dan dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) jelas menuju ke arah pembelaan rakyat.
“Kita akan teruskan usaha ini dengan lebih holistik lagi, khususnya pembangunan sektor pelancongan, perindustrian, pertanian dan kelestarian alam yang merangkumi usaha mengembangkan bidang tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya kerajaan GRS – PH Plus tetap komited dalam usaha membasmi kemiskinan melalui pelbagai pendekatan, termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelabur mengambil anak golongan e-Kasih untuk bekerja selain menyediakan Rumah SMJ untuk golongan miskin tegar.
“Ini menunjukkan kerajaan pada hari ini serius dan tidak terlalu berpolitik, berbeza dengan pembangkang yang sudah ketiadaan isu, selain hanya memainkan isu politik,” katanya. – Info X