Search

Lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya

March 29, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Sungai Udin, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Zulkifli, 30, disyaki dibaham buaya ketika sedang menyeberangi sungai menaiki rakit buluh yang membawa buah kelapa sawit.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.06 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Yahya bersama 10 anggota untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Menurut pengadu, mangsa dibaham buaya ketika sedang menyeberangi sungai menaiki rakit buluh dengan muatan kelapa sawit.

“Pasukan bomba tiba di lokasi dan menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan di lokasi mangsa disyaki dibaham buaya sungai Kampung Sungai Udin, Tawau.

Menurutnya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X