Search

Kebakaran tapak pelupusan sampah Kayu Madang dipadam sepenuhnya

March 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas hampir enam hari berhempas pulas, operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, dekat sini, berakhir petang ini apabila api berjaya dipadam sepenuhnya.

Kebakaran membabitkan sisa pembuangan tayar terpakai di tapak pelupusan sampah berkeluasan 45,700 meter persegi mula dikesan terbakar, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Abdul Razak Muda berkata, kawasan kebakaran yang dibahagikan kepada empat sektor iaitu sektor A,B,C dan D berjaya dikawal sepenuhnya.

“Operasi keseluruhan kemudian ditamatkan jam 3.15 petang dengan pemantauan berterusan turut dilaksanakan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran.

“Keadaan juga terkawal dan cuaca di lokasi kejadian pada masa ini hujan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok yang padam sepenuhnya, petang ini.

Sebelum ini, JBPM menjalankan pemadaman kaedah buih atau foam menggunakan Fix Monitor Fire Fighting bersama jentera High Performance Pump Module (HPPM) dengan mengambil sumber air terbuka selama empat hari.

Katanya, sistem pemadaman menggunakan foam ini berikutan faktor lokasi kebakaran berskala besar dan luas serta kaedah ini mampu memadam kebakaran dalam masa yang singkat melalui keberkesanan sistem pemadaman yang luar biasa.

Beliau berkata, selain menggunakan kaedah ini, pasukan bomba turut mengambil inisiatif menimbus tanah di lokasi kebakaran.

“Selepas berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran, pasukan bomba menggunakan kaedah menimbus tanah di kawasan tapak kebakaran tayar terpakai bagi memastikan api dapat dipadam dan dikawal sepenuhnya.

“Sepanjang operasi dijalankan, JBPM mendapatkan bantuan logistik membabitkan 26 buah lori, tiga jentera berat masing-masing dua jengkaut dan sebuah traktor,” katanya.

Jentera jentolak digunakan untuk menimbus tanah di kawasan tapak kebakaran tayar di Kayu Madang, Telipok, Kota Kinabalu.

Katanya lagi, sejumlah 1,520 fasa penghantaran yang direkod bermula Isnin lalu iaitu 200 fasa penghantaran pada hari pertama, 406 pada Selasa diikuti 294 fasa pada Rabu dam masing-masing 320 dan 300 bagi Khamis dan Jumaat.

“Sepanjang operasi dijalankan, ia dibantu anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah.

“Operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya. – Info X