KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, disifatkan ketinggalan zaman dan hanya berkhayal apabila menuduh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus sebagai ‘kerajaan pengumuman’.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Ahli Parlimen Kinabatangan itu mungkin tidak tahu keadaan sebenar kerajaan atau apa yang dilakukan oleh kerajaan pimpinannya.
“Saya ingat dia yang mungkin tidak tahu keadaan dan apa yang kita buat, apa yang kerajaan lakukan, program untuk rakyat.
“Jadi, saya ingat dia (Bung Moktar) ketingalan zaman, dia tidak tahu. Dia tahu khayalan diri dia saja,” katanya ditemui pada Majlis PenyerahanKuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan di, Dewan Auditorium Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Kelmarin, Bung Moktar menyindir kerajaan negeri pimpinan GRS sebagai kerajaan ‘pengumuman’ kerana mendakwa lebih banyak membuat pengumuman berbanding menyelesaikan isu rakyat.
Dengan mengambil seni kata dalam lagu Cari Jodoh, kumpulan Wali Band dari Indonesia, Bung Moktar berkata membuat pengumuman saja tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat ketika ini, terutama isu air, elektrik dan jalan raya, selain isu pekerjaan. – Info X