Search

3 penyamun diberkas D9 JSJ

April 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki dalam tempoh kurang 12 jam selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun menggunakan pisau pemotong daging di sebuah kedai serbaneka di Inanam, awal pagi semalam.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 27, 27, dan 29 tahun itu ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah antara jam 4 petang hingga 5.30 petang semalam.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, dua daripada tiga suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging berjaya melarikan wang tunai RM470 sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Katanya, susulan laporan diterima polis melancarkan operasi dan berjaya menahan dua suspek pada 4 petang pada hari yang sama dan selang sejam suspek ketiga turut berjaya ditahan.

“Dua suspek ditahan di belakang bangunan Centre Point oleh sepasukan pegawai dan anggota D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPK Sabah.

“Pasukan operasi turut merampas barang kes yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim.

Azmi berkata, sejam selepas itu, suspek ketiga berjaya ditahan di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek, mereka mengaku melakukan kes samun berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai satu jenayah lampau berkait dadah dan suspek kedua memiliki 10 rekod jenayah lampau terkait dadah, mencuri, dan pecah rumah.

“Suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah lampau berkait dadah dan pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek adalah penganggur dan direman untuk siasatan lebih lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebat,” katanya. – Info X