Search

KRCP lindungi, pulihkan 83,381 hektar hutan di Tongod dan Kinabatangan

April 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seluas 83,381 hektar kawasan hutan hujan tropika di daerah Tongod dan Kinabatangan dilindungi dan dipulihkan menerusi Projek Konservasi Hutan Hujan Kuamut (KRCP).

Projek itu dilaksanakan Rakan KRCP, iaitu satu usahasama swasta-awam di antara Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan Permian Malaysia, sebuah syarikat Permian Global.

Inisiatif konservasi di kawasan terbabit disasar dapat menjana bahagian pertama daripada Unit Karbon Disahkan (VCU) seperti dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada pertemuan di Menara Kinabalu, hari ini.

Pada pertemuan itu, Pengerusi Permian Global, Stephen Rumsey menerangkan kepada Hajiji bahawa projek itu menerima pengesahan Laporan Pemantauannya yang pertama pada bulan lalu yang menunjukkan ia memenuhi piawaian antarabangsa bagi perkembangan Iklim, Komuniti dan Biodiversiti.

Mengulas mengenai projek itu, Hajiji menyifatkan KRCP sebagai satu bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh bekerja bersama secara berkesan dan telus dalam mendekati dan memperkasa pembabitan komuniti tempatan.

“Sabah dikenali memiliki hutan yang kaya dengan biodiversiti dan adalah penting kita perlu melakukan apa saja untuk memeliharanya.

“Saya mahu kita membina pencapaian KRCP untuk melindungi sebanyak mungkin hutan yang kita mampu dan menerajui dunia dalam usaha konservasi saintifik berimpak tinggi yang bukan saja memberi manfaat kepada alam, malah kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Permian Malaysia, Ivy Wong Abdillah; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan dan Pengurus Besar Rakyat Berjaya Sdn Bhd, Dr Esther Li.

Projek itu yang menerima pelaburan daripada Permain Global turut membabitkan pihak berkuasa negeri, rakan komuniti dan saintifik, Usahasama Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) dan pertubuhan berfokuskan komuniti, PACOS Trust. – Info X