Search

Warga emas melecur, dua rumah terbakar di Kota Belud

April 20, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Payas-Payas, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.20 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan dua rumah. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dari sumber air jentera.

“Kedua-dua rumah musnah sepenuhnya. Terdapat seorang wanita berusia 60 tahun dilaporkan melecur dan mangsa diberi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Payas-Payas, Kota Belud. – Foto/Bomba

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal jam 6.22 petang dan api padam sepenuhnya jam 7.33 malam.

“Punca kebakaran dalam kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya. – Info X