TAMBUNAN: Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan, baru-baru ini.
Jamuan Aidilfitri yang diadakan di kediaman Ketua Wanita Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Amelia Ajun di Kampung Goliung Tambunan turut dihadiri pemimpin parti politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
Antara pemimpin yang hadir ialah mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Lawrence Gimbang, mantan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Daniel Kinsik serta kenamaan lain.
Ketibaan tetamu dan pengunjung disambut oleh Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, Datuk Victor P Paut serta Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan pemimpin bahagaian, pergerakan pemuda, wanita serta beliawanis Gagasan Rakyat bahagian Tambunan.
Sebaik tiba dimajlis itu, Victor meluangkan masa menyantuni pengunjung dan menyampaikan salam Aidilfitri.

Selain mernikmati pelbagai juadah Aidilfitri, tetamu dan pengunjung turut disajikan hiburan pentas Aidilfitri oleh artis jemputan tempatan, Felix Agus (Naib Juara Akademi Fantasia Musim Ketiga) dan Eleliah Bianus (Juara Sugandoi Tambunan 2023).
Di majlis itu, Victor turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Pelajar Rumah Anak Yatim Tambunan (RAYT), AGM PIBG St Martin Tambunan, polypaip graviti Kampung Kuyungon, dana pembelian tangki penduduk Kampung Bogian, komuniti gotong royong dan kebersihan St Thesesa Paroki, Tambunan, sumbangan kos pembedahan (Puan Martina Anggi), sumbangan kepada Andreas Michael Angkangon, sumbangan kepada Fellyshynda Felix, sumbangan Tabika Kemas Kampung Sunsuron, sumbangan kepada Paroki St Theresa bagi menjayakan UTK, sumbangan kepada Persatuan Karate Daerah Tambunan dan sumbangan kanopi berserta 50 buah kerusi bagi Kampung Monsorulung.

Victor juga berkesempatan menghulurkan sampul raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Para pengunjung yang ditemui menyatakan perasaaan sungguh gembira kerana dapat mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dan berpeluang bertemu dengan rakan-rakan yang meraikannya.
Victor, ketika ditemui media menyifatkan rumah terbuka ruang terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Apa yang bagus berkenaan rumah terbuka ialah kita bukan saja dapat menikmati pelbagai juadah tetapi yang paling utama, di sinilah semua kaum dan pelbagai agama dapat bertemu.Seperti juga perayaan-perayaan lain, sambutan hari raya aidilfitri sememangnya landasan utama mengeratkan keharmonian dan silaturahim di kalangan rakyat,” katanya. – Info X