Search

Ibu maut, anak parah dalam kemalangan dua kenderaan

April 22, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Seorang wanita warga emas maut manakala anaknya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pan Borneo, Kilometer 16, Jalan Papar Baru – Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.41 petang itu, mangsa berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala anak perempuannya berusia 43 tahun yang memandu kenderaan Jip jenis Hyundai parah dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Jip jenis Hyundai.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun memandu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar melalui Jalan Pan Borneo.

Pasukan polis dan anggota bomba mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Pada masa itu, keadaan cuaca hujan lebat dan kenderaan Toyota Hilux hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan Jip Hyundai berada di laluan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, penumpang kenderaan Jip Hyundai wanita tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kinarut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu Jip Hyundai dan Toyota Hilux parah dan dibawa ke HQE Kota Kinabalu menggunakan kenderaan awam dan ambulans.

Pemandu Toyota Hilux turut parah dalam kemalangan berkenaan.

“Mangsa yang maut telah dibawa ke bilik Jabatan Perubatan Forensik HQE Kota Kinabalu, untuk tujuan bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan disebabkan permukaan jalan raya yang basah, licin dan terdapat jalan-jalan yang ada takungan air.

Selain itu katanya, semua pengguna jalan raya haruslah mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan sentiasa memandu dengan perlahan ketika cuaca hujan lebat.

Pasukan bomba turut berada di lokasi kemalangan bagi mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan. – Info X