Search

RM93.2 juta kutipan royalti balak tahun lalu

April 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengutip RM93.2 juta royalti balak menerusi eksport hasil hutan itu sepanjang tahun lalu.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM155.3 juta hasil yang dikutip Jabatan Perhutanan negeri.

Katanya, sebanyak RM3.8 juta daripada jumlah itu pula dikutip menerusi yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport, manakala RM58.2 juta lagi daripada lain-lain hasil hutan.

“Lebihan hasil sebanyak RM58.2 juta adalah daripada lain-lain hasil hutan seperti yuran permit menduduki hutan simpan, yuran pembaharuan lesen, royalti hasil agroforestry (getah dan kelapa sawit), yuran pendaftaran kenderaan dan lain-lain.

“Bagi tahun ini, setakat 31 Mac 2024, jumlah kutipan royalti balak bulat adalah sebanyak RM28.3 juta, manakala hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM629,672.90.

“Kutipan daripada lain-lain hasil hutan pula adalah lebih kurang RM10.75 juta,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai kutipan hasil balak pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS-Tempasuk) mengenai pelan tindakan perhutanan Sabah, Nizam berkata kerajaan negeri sudah melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Hutan 2022-2036.

Katanya, menerusi pelan itu, kerajaan memberi tumpuan kepada perladangan hutan dengan seluas 18,000 hektar disasar pada setiap tahun bagi mencapai jumlah sasaran 400,000 hektar pada 2036.

“Menerusi usaha ini, kita jangka dapat membekal kayu sehingga enam juta m6 meter padu setahun kepada industri hiliran kayu-kayan dengan 40,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh itu.

“Langkah ini juga bagi memastikan bekalan kayu balak mencukupi untuk memenuhi aktiviti hiliran selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 dan Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. – Info X