KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi mencadangkan supaya Ketua Menteri Sabah diberi kuasa penuh untuk melantik Pengarah Pendidikan Negeri.
Katanya, ia sebagai langkah awal untuk ke arah penurunan kuasa autonomi pendidikan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Melihat Langkah, inisiatif yang pelbagai telah diperkenalkan kerajaan mengenai pendidikan anak-anak Sabah, saya percaya pihak kerajaan serius dalam mengangkat kualiti Pendidikan di peringkat Sabah ke persada setaraf kualiti pendidikan di peringkat kebangsaan.
“Justeru itu, kerajaan negeri juga perlu memikirkan cara dan langkah terbaik berhubung MA63 kerana perenggan ke 74 ucapan dasar kerajaan menyentuh mengenai komitmen Kerajaan Negeri memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam MA63, terutamanya dalam tuntutan hasil iaitu pemberian khas dan kepentingan rakyat Sabah melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
“Harus diingat dalam perjanjian tersebut juga melibatkan autonomi pendidikan dan kesihatan yang harus diberi penekanan di setiap perbincangan majlis tindakan tersebut di masa akan datang, seperti negeri jiran Sarawak, Sabah juga seharusnya berjuang bagi mendapatkan autonomi kedua-dua sektor tersebut agar Sabah dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Sementara itu, Mohamaddin berkata, Kerajaan Negeri perlu sedar bahawa kerancakan perkembangan industri pelancongan perlu selari dengan penyediaan produk dan prasarana yang baharu untuk terus menarik minat pelancong datang melawat negeri ini.
Selain itu, katanya, program-promosi ke negara-negara yang menjadi sumber pelancong berkualiti, mampu berbelanja besar ke negeri ini perlu dilaksanakan dan bukan hanya melihat dari segi kuantiti semata-mata.
“Industri pelancong mampu menjana ekonomi usahawan kraf tempatan dan program-program melestarikan budaya etnik yang berbagai ragam suku perlu diluaskan ke peringkat kampung, anak-anak muda untuk menanam minat, cinta keunikan budaya,” katanya. – Info X