Search

‘Jetama’ jenama air minuman rasmi Sabah FC

April 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Air minuman Jetama, produk keluaran syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd (Jetama) dijadikan minuman rasmi Sabah FC dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang, berkata tajaan air minuman itu selaras dengan peranan Jetama sebagai penaja utama Sabah FC untuk saingan Liga Super musim ini.

“Jetama kini menjadi penaja utama rasmi pasukan Sabah FC bagi menghadapi musim baharu Liga Super 2024/2025 yang akan bermula bulan depan.

“Bola sepak adalah sukan yang paling diminati semua lapisan masyarakat sehingga timbul istilah ‘makan bola, tidur bola, minum pun bola.’

“Keputusan penajaan ini dibuat secara kolektif dan ia adalah salah satu strategi untuk mengembangkan air minuman berbotol Jetama.

“Air minuman Jetama kini menjadi minuman rasmi Sabah FC dan selepas ini kita semua boleh lah ‘makan bola, tidur bola, dan minumlah air Jetama’,” katanya pada sambutan Aidilfitri Jetama, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid; Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dan beberapa pemain Sabah FC.

Ahmad Naim berkata, setiap pembelian air minuman Jetama adalah tanda sokongan kepada Sabah FC, selain terhadap pembangunan sukan di Sabah.

Pada 18 April lalu, Jetama memeterai perjanjian dengan Sabah FC bagi menaja skuad Sang Badak sebanyak RM5 juta sepanjang saingan Liga Super musim ini.

Pelancaran minuman rasmi Sabah FC itu dijangka dibuat ketika perlawanan pertama Liga Super, Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas pada 12 Mei depan. – Info X