KOTA KINABALU: Polis menahan dua bekas banduan semalam selepas dipercayai terbabit kes curi motosikal di Keningau, pada 1 Mei, lalu.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis Azmi Abd Rahim, berkata kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kemajuan Likas, jam 5 petang semalam.
“Hasil serbuan itu, pasukan D4 diketuai Asisten Superintendan Polis Ahmad Fathie turut merampas sebuah motosikal dan kereta jenis Perodua Alza.
“Tangkapan ini susulan laporan kehilangan motosikal jenis Y15ZR di Keningau disyaki dicuri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek ini mempunyai empat dan enam rekod jenayah lampau berkait curi dan dadah.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke pejabat D4 JSJ IPK Sabah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi curi kenderaan bermotor,” katanya. – Info X