Search

Apa rasionalnya JKDM, setiap kampung sudah ada JKKK – Joniston

May 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan rasional pembentukan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata jawatankuasa baharu itu disifatkan tidak perlu memandangkan sudah ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini.

Katanya, tindakan menubuhkan JKDM di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu jelas tidak menghiraukan peranan dimainkan JKKK yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa baharu itu juga bertentangan dengan semangat atau konsep Madani yang ditekankan kerajaan persekutuan.

“Apa rasional penubuhan JKDM? Perlukah ia diwujudkan sedangkan kita sudah ada JKKK di setiap kampung?

“Ini jelas bertentangan dengan semangat Madani di bawah kerajaan persekutuan yang menekankan pengukuhan persefahaman, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya dalan satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO perlu menjelaskan keputusan itu kepada rakyat Sabah.

Katanya, rakyat negeri ini menganggap keputusan itu sebagai strategi ‘pecah dan perintah’ yang dilihat sebagai satu gerakan untuk mengukuhkan UMNO di Sabah.

“Setakat pengetahuan saya, tiada JKDM di Sarawak, di mana UMNO tidak wujud di sana.

“Walaupun tiada pengumuman rasmi, satu surat mengenai pembentukan JKDM di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) didakwa ditandatangani Ahmad Zahid sudah tular di media sosial,” katanya.

Ketika program di Kinabatangan pada 9 Mei lalu, Ahmad Zahid menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di daerah berkenaan. – Info X