KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan untuk melakar kemenangan pertama Liga Super musim ini pada pertemuan dengan Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan, malam esok.
Bagi mencapai sasaran itu, pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee memberi tumpuan terhadap isu penyudah tumpul agar tidak berulang pada perlawanan kedua Liga Super apabila bertandang ke Kelantan setelah seri tanpa jaringan ketika menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas pada Ahad lalu.
Tumpuan Sabah FC kali ini, katanya adalah untuk memastikan pemain dapat mencipta gol bagi memenangi perlawanan di Kelantan agar dapat memberi motivasi kepada pasukan.
“Sasaran kita adalah ingin beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan apa lagi untuk meraih tiga mata malam esok. Apa yang lebih penting adalah semua pemain perlu kekal fokus dengan apa juga corak permainan nanti.
“Sabah FC menganggap perlawanan malam esok sangat penting untuk mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan sekali gus memastikan pulang dengan satu keputusan yang sangat positif,” katanya mengulas persiapan menghadapi Kelantan Darul Naim.

Kim Swee bagaimanapun menjangkakan perlawanan esok sebagai sengit berdasarkan pencapaian Kelantan Darul Naim yang hanya kalah tipis di tangan Sri Pahang FC pada perlawanan pertama Liga Super minggu lalu.
Katanya, tewas 1-0 di tangan Sri Pahang pada Sabtu lalu membuktikan Kelantan Darul Naim bukan lagi seperti pasukan Kelantan pada musim lalu.
“Tugas Sabah FC lebih mencabar, perlawanan malam esok sudah tentu pihak tuan rumah (Kelantan) ingin mempamerkan mutu persembahan yang bertenaga dan sudah pasti akan memberi cabaran besar kepada pemain untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Kim Swee berkata, beliau melihat tiada perbezaan apabila Sabah FC bermain dengan mana-mana pasukan kerana setiap perlawanan adalah sama penting untuk memastikan kemenangan.
“Kita akan cuba mendapatkan kemenangan pertama esok, dalam masa sama kita tahu pada saingan awal Liga Super semua pasukan bersiap sedia dengan baik.
“Semua pemain sudah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan dan kita mahu memastikan mereka dapat mencatat kemenangan pertama di tempat lawan sekali gus menyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan akan datang,” katanya. – Info X