KOTA KINABALU: UMNO Sabah dijangka membentuk sebuah gabungan baharu bersama beberapa parti tempatan lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, membayangkan gabungan baharu itu mungkin dibentuk bersama Parti Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Inilah parti-parti yang tercicir, yang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pakai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (Komuniti Desa Madani) atau JPKKP-KDM, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Presiden KDM, Datuk Peter Anthony; Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dan Setiausaha Agung PBRS, Richard Kastum.
Kehadiran pemimpin terbabit bersama beberapa lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Warisan dan UMNO serta pemimpin PBRS memberi bayangan mengenai kerjasama di antara parti terbabit menjelang PRN17.
Mengulas mengenai perkara itu, Bung Moktar berkata persiapan menghadapi PRN17 memerlukan kerjasama dengan parti lain sejajar situasi politik masa kini yang tidak memungkinkan mana-mana parti politik bergerak sendiri.
“Kita memang menuju ke arah PRN, kalau tidak tahun ini, pastinya tahun depan. Apa yang jelas parti tidak boleh bergerak sendiri, perlu ada gabungan dengan parti yang kita rasa boleh bekerjasama,” katanya.
Bung Moktar bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan secara rasmi gabungan baharu yang bakal dibentuk nanti kerana perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum diumumkan apabila sudah sampai masanya.
“Gabungan baharu itu mesti ada tapi belum sampai masanya (diumumkan). Memamg oasti, kita akan perhalusi segalanya terlebih dahulu,” katanya.
Katanya, pembentukan gabungan baharu juga perlu dengan mengambil kira penerimaan rakyat yang ketika ini dilihat tidak lagi menerima parti tunggal untuk menguasai pentadbiran negeri. – Info X