Search

Penubuhan JKDM bertentangan dengan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah – Ewon

May 19, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mendedahkan pendiriannya tidak bersetuju terhadap cadangan mewujudkan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) ketika perkara itu dibincangkan di Kabinet.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata pendirian itu mengambil kira pindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang antara lain menjelaskan seharusnya hanya ada satu badan pengurusan kampung di negeri ini.

Katanya, di bawah ordinan berkenaan, setiap kampung ditadbir satu badan yang diiktiraf dan dilantik oleh kerajaan negeri iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jelasnya, jika JKDM adalah satu dasar negara, maka ia harus dilaksanakan di seluruh negara, namun ia tidak dilaksanakan di Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung.

“Oleh itu, saya telah menjelaskan pandangan saya yang cukup tegas, tidak setuju tentang penubuhan JKDM apabila ia dibangkitkan di kabinet. Saya percaya keputusan pada ketika itu cadangan tersebut haruslah dirunding dengan kerajaan negeri. Jadi saya tidak tahu kenapa ia masih diteruskan.

“Saya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada kementerian yang berkenaan dan saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri sama ada ia dirujuk tentang penubuhan ini,” katanya ditemui pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, di sini, semalam.

Ewon ketika ditemui media pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata penubuhan JKDM lebih kepada inisiatif parti politik dan tidak melalui wakil rakyat.

“Contohnya di Moyog, saya tidak pernah dibawa berbincang. Begitu juga di Kadamaian, saya tidak akan menghantar senarai bagi kawasan DUN Kadamaian kerana ini pendirian saya iaitu tidak harus ada pentadbiran yang kedua dalam sebuah kampung di Sabah.

“Sebagai wakil rakyat dari Sabah dan walaupun mempunyai kementerian persekutuan, saya tetap berpendirian bahawa tidak harus ada JKDM di Sabah.

“Pandangan dan pendirian saya sudah direkodkan dengan jelas dalam perbincangan Kabinet dan pendirian saya tidak berubah sejak saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“Pada ketika itu juga ada usaha untuk menubuhkan MPKK Persekutuan, saya menyatakan bantahan dan pendirian saya kekal sehinga hari ini,” katanya.

Beliau berpendirian seharusnya hanya ada satu institusi pentadbiran kampung mengikut ordinan yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah dipinda dan diluluskan pada persidangan Januari. – Info X