KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Pakistan dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan gagal mengemukakan passport dan mengelak daripada melalui kaunter pemeriksaan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 15 Mei lalu.
Tertuduh, Irfan Ullah, 41 dan Sartaj Ali, 34 yang berasal dari Pakistan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan passport.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 24 (1) dibaca bersama Seksyen 24 (2) (a) yang mana hukumannya di bawah Seksyen 57 akta yang sama kerana mengelakkan diri daripada melalui kaunter pemeriksaan Jabatan Imigresen.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 10.55 pagi hingga 11.15 pagi di KKIA.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hafizah Mohd Salim.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan diambil daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula dan melantik jurubahasa.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – Info X